INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA (LAW SIEW LING) (241975)

INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
1.0 PENGENALAN

Perniagaan francais merupakan satu perniagaan yang telah lama bertapak di dunia perdagangan dan ia bukanlah sesuatu perniagaan yang baru dalam dunia perniagaan. Selain daripada Eropah dan USA, perniagaan francais turut memasuki negara-negara yang lain. Konsep perniagaan francais melibatkan dua pihak ataupun lebih mengikut keperluan untuk menjalankan sesuatu aktiviti perniagaan, memperkenalkan terus serta mengembangkannya sehingga pengguna dapat menerimanya dengan cepat.
Francais merupakan suatu bentuk pemasaran produk atau peniagaan dengan cara memberi informasi secara meluas terhadap penawaran cap dagang mahupun jenama tanpa mengira perkhidmatan ataupun bentuk barangan kepada pelanggan terakhir. Francaisor yang merupakan pemilik francais atau dikenali sebagai pemberi hak memberi kebenaran kepada pihak penerima francais yang juga dikenali sebagai penerima hak, sama ada pihak tersebut adalah syarikat mahupun individu untuk menjalankan perniagaan mengikut sistem, kaedah dan tatacara seperti yang telah diaturkan oleh perjanjian yang mendapat kata sepakat antara kedua-dua belah pihak mengikut tempoh masa dan tempat yang ditetapkan. Dengan kata lain francais merupakan perniagaan yang dikongsi bersama antara pelabur (francaisi) dengan pemilik produk (francaisor) di mana francaisi akan menyediakan modal dalam bentuk sumber manusia, dana dan usaha berterusan manakala francaisor akan menyediakan produk dan sistem perniagaan untuk memastikan kelangsungan sesuatu perniagaan.
Persatuan Francais Antarabangsa (IFA) iaitu sebuah lembaga gabungan pengusaha francais di Amerika Syarikat ataupun lembaga-lembaga persatuan francais di setiap negara mendefinisikan francais sebagai satu usaha hubungan kontrak antara francaisi dan francaisor, di mana francaisi diwajibkan membuat bayaran dalam bentuk laburan dengan jumlah tertentu bagi mendapatkan kebenaran untuk menggunakan bentuk, jenama dan sebarang sistem francais di bawah kawalan francaisor, manakala francaisor pula berkewajipan memberi bimbingan dan penyeliaan bagaimana menjaga dan menjalankan perniagaan francais supaya perniagaan francais tetap beroperasi.

2.0 SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA

2.1 SEJARAH FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL
Sejarah perkembangan francais di dunia telah menjadi bukti bahawa bentuk francais yang sedia ada pada ketika ini adalah merupakan pengembangan daripada sistem francais yang telah diterokai semenjak tahun 1850-an dan sistem ini mula berkembang pada tahun 1950-an dan 1960-an di Amerika Syarikat. Matlamat dan latar belakang sistem ini adalah memastikan perkhidmatan dan barangan yang dikeluarkan di sesuatu kawasan dapat dijual dan diedar ke seluruh kawasan yang lain. Pendekatan dan konsep sistem francais kemudiannya disebarkan di dalam sektor komersial dan swasta. Sistem ini telah menjadi popular kemudian dan dianggap sebagai penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran yang melebihi keperluan pengguna serta sempadan negara.
Bentuk francais yang pertama pada peringkat sederhana adalah format perniagaan yang dipelopori oleh Singer Sewing Machine Company pada sekitar tahun 1850-an. Sistem francais telah diperkenalkan oleh Isaac Singer sebagai pembuat mesin jahit untuk meningkatkan dan mengembangkan pengeluaran mesin jahitnya. Beliau menjadi orang yang pertama dalam memperkenalkan format perniagaan francais ini kepada dunia perniagaan di Amerika Syarikat walaupun usaha yang dilakukannya tidak berjaya sepenuhnya.
Usaha Isaac Singer ini diteruskan oleh General Motors Industry, sebuah syarikat reka bentuk dan perkilangan yang dibina pada tahun 1897 dalam industri automotif di Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi perlantikan pengedar francais. Namun, sumber lain menyatakan bahawa yang meneruskan jejak Isaac Singer adalah Jhon Pemberton yang berjaya menggunakan format francais untuk mengembangkan syarikat mimuman coca-cola.
Sistem francais kemudiannya mula dipelopori oleh syarikat-syarikat berasaskan makanan segera (fast food). Pada tahun 1935, sistem francais moden makanan segera telah diperkenalkan oleh A&W Root Beer yang pada masa itu dimiliki oleh Reginald Spragu dan Howard Deering Johnson. Idea bagi memasarkan makanan segera secara sistem francais telah dicetuskan oleh mereka, iaitu pengelola restoran boleh menggunakan pembekal, reka bentuk logo, jenama, konsep dan dalaman sebagai syarat pertukaran untuk membayar yuran.
Restoran makanan segera McDonalds yang diasaskan oleh adik-beradik McDonald dan Dick pada tahun 1953 juga menggunakan format francais untuk memajukan lagi industri makanan segera. Industri francais terus berkembang di Amerika Syarikat dan berkembang sehingga ke pelbagai negara pada tahun 1990. Pelbagai perkhidmatan dan produk dalam industri francais telah bertumbuh secara mendadak terutamanya dalam rangkaian restoran makanan segera, pembinaan, perhotelan, pelancongan, peruncitan, hiburan, rangkaian televisyen berbayar dan perniagaan barangan sukan.

2.2 SEJARAH FRANCAIS DI MALAYSIA
Malaysia merupakan negara yang turut mengikuti perkembangan industri francais dan diterima orang ramai. Perniagaan francais telah bermula di Malaysia pada tahun 1960-an melalui syarikat-syarikat seperti syarikat kasut BATA, Singer, perhotelan, pengedar-pengedar automotif dan stesen-stesen minyak. Pertumbuhan perniagaan ini semakin pesat apabila restoran-restoran makanan segera seperti A&W, KFC, McDonalds dan Pizza Hut mula bertapak di Malaysia pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Keadaan ini berterusan sehingga hari ini dan telah berlaku pertumbuhan pelbagai produk dan perkhidmatan yang menggunakan sistem francais seperti kedai-kedai buku, kedai alat ganti kenderaan dan aksesori, pusat servis kereta dan kedai-kedai tayar, pusat kecantikan, fesyen baju, agensi pelancongan dan penyewaan kereta, percetakan, farmasi, kedai runcit, telekomunikasi, barangan kemas, optometri, kedai gambar dan perkhidmatan kebersihan.
Pada awal tahun 1990-an, industri perniagaan francais mendapat perhatian serius dan sokongan daripada pihak kerajaan serta masyarakat Malaysia terutamanya golongan usahawan. Kerajaan telah mengenal pasti perniagaan francais sebagai satu mekanisme yang dapat memberi kebaikan kepada perkembangan ekonomi negara di Malaysia pada hari ini. Sistem perniagaan francais turut dianggap sebagai satu usaha yang paling berkesan untuk membangunkan usahawan-usahawan di negara ini.
Di bawah Unit Perlaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Program Pembangunan Francais telah diperkenalkan di negara ini pada tahun 1992. Tujuan program ini adalah sebagai salah satu sumber negara yang mampu memberikan nilai tambah untuk merealisasikan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) dan sebagai program utama untuk membangunkan usahawan Bumiputera. Melalui penyediaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah berusaha untuk membangunkan sektor francais di Malaysia. Pelbagai program dan pelan strategi juga diwujudkan dalam menyokong pembangunan sektor francais dengan lebih terancang.
Perbadanan Nasional Berhad telah diamanahkan sebagai agensi di bawah Bahagian Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) bagi menyusun pelan pembangunan industri francais dengan lebih komprehensif. Antara tujuh strategi utama yang diperkenalkan adalah latihan, promosi, pembiayaan, program pakej khas, jaringan strategik, pembangunan dan penyelidikan serta pembangunan produk. Pada tahun 1994, Persatuan Francais Malaysia (MFA) turut ditubuhkan bagi menyokong pelaksanaan program kerajaan untuk mengalakkan keusahawanan melalui francais. Pembentukan MFA dijadikan sebagai galakan dalam pembangunan francais di Malaysia. MFA turut dijadikan sebagai pusat sumber bagi francaisor dan francaisi, serta media dan orang ramai. Matlamat penubuhan MFA adalah mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada perkembangan francais di Malaysia. MFA bekerjasama melalui kerja-kerja jawatankuasa untuk mengembangkan francais di Malaysia ke dalam abad ke 21 selaras dengan Wawasan 2020.


3.0 KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL

Bidang perniagaan yang dibangunkan secara francais telah menjadi perniagaan yang paling maju di negara ini. Perkembangan ini merupakan petanda yang baik kerana dapat memberi pelbagai manfaat dan sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan. Terdapat beberapa sumbangan perniagaan francais kepada ekonomi negara. Yang pertama adalah merangsang pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan aktiviti keusahawanan. Usahawan-usahawan tempatan yang bakal menawarkan produk yang berjenama akan diwujudkan untuk merangsangkan lagi pertumbuhan perniagaan. Yang kedua adalah menggalakkan perdagangan antarabangsa menerusi pakej pelantikan francaisi induk oleh francaisor tempatan, serta menyumbang ke arah pemantapan pertukaran mata wang negara di samping itu menambahkan peluang-peluang pekerjaan kepada peduduk setempat. Yang ketiga adalah membantu dalam pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baru dalam pembangunan ekonomi melalui sistem francais yang diperolehi oleh usahawan supaya dapat membantu dalam pertumbuhan ekonomi setempat. Yang keempat pula adalah menyediakan peluang perniagaan kerana perniagaan kecil milik francaisi yang mudah dan cepat dapat menyumbang dalam aspek pengambilan tenaga kerja.
Sistem francais juga mampu membina satu hubungan dan jaringan usahawan yang kukuh dan sukar digugat oleh pesaing sekiranya semua usahawan sama ada francaisi atau francaisor yang terlibat dalam program ini dapat memahami objektif program. Risiko bisnes dapat dikurangkan dan diuruskan dengan lebih berkesan melalui sistem francais terutama bagi usahawan yang baru melibatkan diri dalam bidang bisnes. Perkara-perkara yang dapat didedahkan dalam pengurusan risiko adalah seperti stok lapuh, lebihan produk, pusingan kakitangan, produk yang tidak berkualiti, jenama yang lemah, pengurusan kewangan yang lemah dan kecairan tunai. Stok dan sumber manusia bagi francaisor juga dapat diuruskan dengan cekap kerana tidak perlu membuat pelaburan yang tinggi untuk membuka rangkaian yang lain di merata tempat.
Rangkaian francaisi turut memberi peluang kepada jenama francaisor untuk memasuki tempat-tempat yang tidak dapat dimasuki disebabkan situasi tertentu. Francaisi mempunyai hubungan yang lebih baik dengan pihak pengurusan lokasi strategik yang mahu diterokai berbanding dengan francaisor. Konsep francais mampu mengatasi masalah dalam mengaji kumpulan pengurusan profesional yang dialami oleh francaisi kerana mereka tiada kemampuan pada peringkat awal untuk menjalankan operasi perniagaan harian. Selain itu, Francaisi juga boleh mendapatkan panduan dan khidmat nasihat operasi bisnes secara berterusan daripada francaisor.
Kadar upah, utiliti dan kos bahan mentah semakin meningkat berikutan dengan keadaan ekonomi yang semakin berkembang telah memberi kesan kepada margin keuntungan bisnes dalam pelbagai industri. Meningkatkan harga jualan produk dan perkhidmatan dalam situasi ekonomi pada negara kita hari ini merupakan suatu perkara yang sukar kerana mungkin memberi pandangan negatif kepada pelanggan dalam imej bisnes. Melalui sistem francais, kecekapan bisnes dapat ditingkatkan dan kos pengurusan juga dapat dikurangkan sehingga tahap minimum. Francaisor dapat merancang kos pembelian, merancang kakitangan mengikut keperluan dan membina jenama dalam pasaran untuk menarik perhatian pelanggan apabila mempunyai rangkaian francaisi yang aktif dan kemudiannya kesemua penjimatan kos dapat dipindahkan kepada rangkaian francaisi.
Selain itu, sistem perniagaan francais juga memberi kebaikan kepada pengguna dan membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara. Melalui rangkaian perniagaan yang luas dengan persekitaran yang konduktif, pengguna dapat memperolehi kemudahan sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan melalui sistem francais. Megikut peredaran masa, perkhidmatan dan kemudahan perniagaan yang moden juga dapat dinikmati oleh pengguna.



4.0 TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Industri francais Malaysia menunjukkan tahap pembangunan yang positif serta memberangsangkan dan mampu menembusi pasaran antarabangsa kerana industri ini merupakan sebuah perniagaan yang mencabar. Terdapat 59 produk tempatan telah berjaya mengembangkan jenama mereka ke 53 buah negara. Melalui Sinar Harian (2014), Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA) iaitu Mohamad Shukri Salleh berkata, sebanyak 1,992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan di luar negara setakat itu, antaranya adalah Nelson, Marrybrown, Sugar Bun, Secret Recipe Cakes and Cafe.
Sejak zaman kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan Malaysia memberikan fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia kerana francais diperkenalkan oleh beliau pada tahun 1993. Walaupun perniagaan francais mempunyai potensi yang tinggi, namun kesedaran rakyat terhadapnya masih kurang pada ketika itu. Rakyat Malaysia kini lebih memahami tentang perniagaan francais dan penyertaannya pada setiap tahun juga semakin bertambah.
Jumlah francaisor tempatan pada masa ini meliputi 29 peratus Bumiputera dan 71 peratus bukan Bumiputera. Kebanyakkan francaisi pula adalah Bumiputera. Menurut Mohamad Shukri Salleh, produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman telah memasuki negara luar disebabkan jenamanya dan Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Setiap tahun kerajaan menganjurkan pelbagai program melalui kementerian dan agensi terlibat bagi mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Dengan itu, usahawan francais dapat mengenali dan mendekati peluang pasaran dan persekitaran di setiap negara melalui manfaat yang diberi. Kerajaan juga akan memberi bantuan kepada usahawan untuk mejejak langkah ke luar negara dengan memberi maklumat dan sokongan tambahan semasa usahawan berada di pasaran luar. Hubungan dan kerjasama penting dalam perniagaan francais supaya usahawan dapat bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Sehingga Disember 2013, sebanyak 689 perniagaan francais telah didaftarkan di Malaysia dengan 491 adalah produk tempatan melalui sumber Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK. Peratus dalam sektor makanan adalah sebanyak 35 peratus, Pusat Pembelajaran Kanak-kanak sebanyak 12 peratus serta pakaian dan aksesori adalah sebanyak 11 peratus. Oleh yang demikian, kerajaan Malaysia melalui KPDNKK telah mengambil langkah untuk membangunkan sektor francais melalui penyediaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN). Tujuan PIPFN adalah menjadikan Malaysia sebagai pusat francais di seluruh Asia Tenggara dan Timur Tengah menjelang tahun 2020.



5.0 SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA


Program Pembangunan Francais (PPF) telah diwujudkan pada 4 Ogos 1992 di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Jabatan Perdana Menteri untuk mengawal selia industri francais secara dalaman dan penggubalan Akta Francais Malaysia 1998. Selaras dengan Agenda pembangunan Negara, satu keperluan telah wujud untuk membawa industri francais ke peringkat yang lebh tinggi kemudian menjadikan Malaysia sebagai pusat francais dunia. Bagi menyokong pembangunan industri francais negara, Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) telah disediakan.
Pihak kerajaan telah mewujudkan satu sistem atas talian pendaftaran francais iaitu MyFEX untuk mempercepatkan tempoh membuat pendaftaran francais kepada tujuh hari bekerja dengan syarat semua dokumen dan syarat dipenuhi sejajar dengan pelaksanaan PIPFN. Matlamat MyFEX adalah memberikan keselesaan dan memudahkan tatacara proses permohonan baru lesen francais.
Akademi Nasional Berhad (PNS) telah ditubuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunan KPDNKK untuk melaksana dan menjadi peneraju dalam membangunkan industri francais di Malaysia termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan. Program Latihan Francais, Program Latihan Softskill dan Program Kesedaran yang meliputi forum dan perkongsian ilmu merupakan program yang dianjur oleh akademi ini bagi melahirkan usahawan francais yang mantap dengan ilmu pengetahuan.
Persatuan Francais Malaysia (MFA) merupakan satu badan bukan kerajaan yang bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan industri francais tempatan. MATRADE juga bekerjasama dengan KPDNKK, PNS dan MFA bagi mempromosikan francais tempatan melalui pendedahan di luar negera. Selain itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Credit Gurantee Corporation Sdn Bhd, Malayan Banking Berhad (MAYBANK), CIMB Bank Berhad (CIMB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan SME Corporation turut memberikan sumbangan, bantuan kewangan dan premis perniagaan kepada usahawan.
6.0 CABARAN/ HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA
Cabaran dan halangan sering dihadapi oleh usahawan-usahawan francais. Oleh itu, mereka perlu sentiasa bersedia untuk memastikan perniagaan mereka dapat dikekalkan dalam pasaran. Cabaran pertama yang biasanya adalah modal yang tinggi untuk memulakan perniagaan francais. Kos-kos tersebut termasuklah yuran untuk menggunakan jenama, kos sewa, kos pengubahsuaian kedai, deposit dan pembelian aset. Walaupun francaisi tidak memperolehi keuntungan, tetapi royalti bulanan tetap perlu dibayar kepada francaisor.
Cabaran yang kedua adalah francaisi tidak diberi kebebasan. Perniagaan francaisi biasanya dikawal oleh francaisor bagi menjaga keseragaman. Tindakan ini akan menyekat kebebasan francaisi untuk berniaga. Antara beberapa perkara yang terdapat dalam perjanjian francais adalah seperti pemilihan lokasi perniagaan, konsep perniagaan dan hiasan dalaman kedai, kawalan penjualan produk dan perkhidmatan, kawalan dalam mengendalikan operasi perniagaan dan kawalan ke atas hak wilayah (Territorial Rights).
Cabaran yang seterusnya adalah penamatan kontrak dan pembaharuan kontrak. Kontrak francais akan tamat sekiranya francaisi telah melanggar perjanjian francais. Apabila kontrak tamat selepas 5 tahun, segala pelaburan francaisi akan hilang. Oleh itu, francaisi perlu memastikan pulangan modal dalam tempoh 5 tahun untuk mendapatkan semula modal yang dilabur. Pembaharuan kontrak berkemungkinan berlaku apabila terdapat perubahan dalam terma dan syarat. Faktor-faktor seperti kenaikan kadar bayaran royalti, menggurangkan hak wilayah, membuat pengubahsuaian kedai dan kawalan atas jualan juga akan menyebabkan perubahan dan memberi peluang kepada francaisi yang lain.
Selain itu, francaisi yang menceburi bidang ini akan rasa beban sekiranya terpaksa berniaga dalam satu sistem yang ditetapkan oleh francaisor terutamanya golongan yang tidak suka terikat dengan sistem-sistem tertentu atau sesuatu peraturan yang ditetapkan.
Cabaran yang lain adalah kepayahan mencari francaisi yang dapat memberi komitmen tinggi kepada francaisor. Francaisor perlu memastikan francaisi mempunyai minat dalam perniagaan francais dan mempelajari selok belok perniagaan yang akan diceburinya supaya francaisi sentiasa bersedia untuk mencapai misi dan visi syarikat. Francaisi haruslah memenuhi pengetahuan dalam aspek kewangan, komitmen, kemampuan dari mental dan fizikal, simpanan, sentiasa menjalankan penyelidikan dan mempunyai kepercayaan terhadap produk untuk mencapai kejayaan perniagaan syarikat tersebut.
Cabaran juga akan dihadapi oleh francaisor apabila francaisi-francaisi gagal mematuhi peraturan atau prosedur kawalan mutu produk yang mengakibatkan reputasi francaisor terjejas. Rahsia syarikat juga akan terbocor sekiranya francaisi yang berkongsi rahsia tidak bertanggungjawab dan mendedahkan rahsia kepada pihak lain. Pihak francaisor juga akan mengalami masalah penipuan apabila cawangan francais semakin berkembang dan bertambah. Jika francaisor gagal menangani masalah penipuan seperti peniruan produk, bayaran royalti, caj perkhidmatan dan sebagainya, maka masalah-masalah tersebut akan menjadi satu risiko besar yang mampu membawa kepada kegagalan perniagaan.


7.0 MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Masa depan industri francais di Malaysia menunjukkan beberapa kemajuan yang memberangsangkan walaupun masih perlu membuat penambahbaikan di masa akan datang. Sejak kerajaan memperkenalkan konsep perniagaan francais oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1982, bilangan yang meceburi bidang perniagaan francais meningkat dari semasa ke semasa. Program kesedaran yang telah dianjurkan oleh semua pihak turut membantu dalam membangunkan modal insan untuk memilih industri francais sebagai pemangkin ekonomi. Pada masa kini, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif kepada usahawan yang menceburi bidang ini terutamanya golongan bumiputera bagi mengatasi masalah kewangan pihak francaisi.
Francaisor boleh dikatakan sebagai syarikat yang berjaya dalam sistem pemasaran. Peniaga-peniaga berjaya mengembangkan sistem francais yang digunakan dan menjadikan keuntungan perniagaan francais bertambah apabila sistem berjaya diamalkan di tempat baru. Masalah kekurangan modal francaisor turut diselesaikan dengan sistem ini kerana modal dikeluarkan oleh pihak francaisi. Perniagaan Francais di Malaysia kebanyakkannya berteraskan sektor makanan, keperluan rumah, perkhidmatan, telekomunikasi dan aksesori wanita. Syarikat yang mengamalkan sistem francais adalah seperti McDonald, KFC, Subway, Starbucks, Kedai Cosway, Kopitiam dan sebagainya.
Penubuhan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menunjukkan pihak kerajaan Malaysia memberi komitmen dalam industri francais. Tranformarsi yang diadakan oleh PNS telah meningkatkan daya saing industri di negara ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) dengan merangka tiga fasa untuk memperkasakan industri francais di Malaysia. Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat francais yang terbilang di peringkat Asia Tenggara dan negara Timur Tengah menjelang tahun 2020. Tugas PIPFN dalam Fasa 1 pada tahun 2012 sehingga 2014 adalah memantapkan peserta francais dan rangka kerja dalam pembangunan francais. Tujuan Fasa 2 dalam PIPFN pada tahun 2015 sehingga 2016 pula adalah menjalankan usaha untuk menuju ke arah industri dalam negeri yang dilantik selaras dengan visi PIPFN. Fasa 3 dalam PIPFN pada tahun 2017-2020 mengutamakan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pusat francais.
Akta Francais (1998) telah digubal dalam memastikan perkembangan industri francais beroperasi secara sihat dan terkawal. Sehingga kini, terdapat beberapa perniagaan francais tempatan yang berjaya mengembangkan jenama mereka ke negara lain, Antaranya termasuk Marrybrown Fried Chicken, Nelson’s, Langkawi Crystall dan Sugar Bun. Sumbangan industri francais kepada Keluaran Dalam Negara (KDNK) telah meningkat dari RM26.15 bilion pada tahun lepas kepada RM 26.8 bilion pada tahun ini. Menurut Setiausaha Agong Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh berkata, terdapat 797 syarikat francais berdaftar denagn KPDNKK yang melibatkan nisbah 70% jenama tempatan dan 30% jenama antarabangsa. Ini telah membuktikan industri francais semakin menarik perhatian usahawan tempatan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga berharap lebih banyak pihak koperasi atau usahawan francaisor tempatan melibatkan diri dalam industri francais tempatan untuk mengeksploitasi sektor khusus seperti sektor perubatan, perkhidmatan, pelancongan, produk, teknologi hijau dan pematuhan syariah supaya meningkatkan peluang untuk berkembang dalam industri ini.


8.0 KESIMPULAN
Industri perniagaan francais di Malaysia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan telah dikenal pasti oleh kerajaan. Sistem francais merupakan strategi yang paling berkesan untuk membangunkan usahawan-usahawan tempatan kerana berkembang dengan pantas. Perniagaan francais turut mewujudkan dan memantapkan budaya baru dengan memberi penekanan seperti perkhidmatan pelanggan berkualiti, disiplin yang tinggi, kebersihan dan keseragaman semasa menjalankan perniagaan. Aspek ini amat penting apabila perniagaan tempatan melakukan persaingan di peringkat antarabangsa.
Hubungan di antara francaisi dan francaisor merupakan satu lagi aspek yang penting. Hubungan yang harmoni mampu meningkatkan produktiviti dan keseragaman produk dalam sesuatu perniagaan francais selaras dengan setiap cawangannya. Oleh itu, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan semasa membuat keputusan untuk memilih perniagaan.
Selain itu, peranan kerajaan juga amat penting dalam mengatur semula pelaksanaan dasar industri francais. Kemudahan dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan perlu mendapat sokongan daripada semua pihak dalam industri francais agar dapat membina sebuah industri yang berdaya saing dan kukuh dalam dunia francais. Selain itu, pihak yang bergiat dalam industri francais juga perlu menitikberatkan amalan perniagaan yang beretika tinggi semasa berurusan dengan francaisor, francaisi, pelanggan ataupun pengguna produk supaya industri francais Malaysia lebih diutamakan di sudut dunia.


9.0 RUJUKAN
 Modul SADE 1013 Asas Keusahawanan
Unit Pengajian jarak jauh, Universiti Utara Malaysia

 http://kpdnkk.bernama.com/newsBm.php?id=647165

 http://tugasanblog16.blogspot.com/2016/02/sejarah-pembangunan-industri-francais.html

 http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140127/ek_02/Meraikan-20-Tahun-Francais-Malaysia

 http://tugasanblog16.blogspot.com/2016/02/kepentingan-industri-francais-terhadap_29.html

 http://norhayati81.blogspot.com/2016/06/tahap-pembangunan-industri-francais-di.html

 http://tugasanblog16.blogspot.com/2016/02/sistem-sokongan-oleh-pihak-kerajaan-dan.html

 http://hanisizati05.blogspot.com/2015/12/cabaran-dan-halangan-yang-dihadapi-oleh.html

 http://asnwdadr.blogspot.com/2016/06/40-tahap-pembangunan-industri-francais.html

 http://sumayyah235731.blogspot.com/

 http://zanethcreation.blogspot.com/2016/03/industri-francais-di-malaysia.html

 http://francaisdimalaysiauum235693.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment