1.0 Sejarah dan Evolusi E-dagang
Kemunculan internet pada tahun 1969 telah berjaya membawa perubahan yang besar di dalam bidang teknologi maklumat. Contohnya , permulaan perkembangan E- dagang (E-commerce). Amerika , merupakan negara pertama yang mewujudkan internet melalui kelompok peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Research Intitut, Universitas Utah dan Universitas California di Santa Barbara. ARPAnet (Advanced Research Project Agency) merupakan jaringan yang diciptakan oleh mereka untuk berkomunikasi di antara satu sama lain . Selepas tiga tahun , lebih dari 50 buah universiti telah terhubung bersama-sama di dalam jaringan (network), dan seterusnya jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia.
Walaupun demikian, masih terdapat pengertian berbeza mengenai sejarah E-dagang ini. Menurut pandangan Kalakota dan Whinston (1997), di dalam buku M. Suyanto, (2003) menjelaskan E-dagang adalah satu perspektif komunikasi , perspektif perkhidmatan atau servis dan juga proses perniagaan atas talian yang dipanggil online. Dapat dilihat pelbagai pandangan dan takrifan mengenai sejarah E-dagang dalam dunia global masa ini.
Dalam konteks perniagaan , Digital Marketing adalah salah satu lonjatan paradigma terbaru yang diperkenalkan melalui aplikasi internet. Awal tahun 1990-an , perniagaan di internet mulai berkembang pesat mencapai jutaan pelanggan , maka muncullah istilah baru Electronic Commerce atau lebih dikenali E-commerce. Perdagangan elektronik atau E-dagang adalah merujuk kepada perniagaan atau perdagangan yang menggunakan peralatan dan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat sebagai medium untuk tujuan komunikasi dan juga transaksi. Melalui pengenalan E-dagang ini , masa kerja dan urusniaga menjadi lebih fleksibel, boleh memiliki pertubuhan/pejabat maya atau hanya beroperasi di rumah, pasaran perniagaannya adalah lebih meluas iaitu serata dunia dan ia berjalan 24 jam tanpa henti.
Namun , E-dagang ini terdiri daripada dua jenis utama iaitu E-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan dan E-dagang di antara perniagaan dengan pengguna. E-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan membawa maksud penglibatan transaksi di antara dua atau lebih perniagaan atau syarikat di mana satu pihak tersebut menjadi syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain. Umumnya , perniagaan ini biasanya melibatkan pembekal dan syarikat penjual atau pemasar. Contohnya , sebuah kilang pencetak buku akan berurusan dengan sebuah gedung buku dalam proses memesan, menghantar dan membayar pesanan buku-buku.
Manakala , E-dagang di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual akhir sesuatu produk itu . Misalnya , sebuah gedung buku yang menjual produk-produk kepada pengguna terakhir iaitu orang ramai (pengguna) yang memesan satu atau lebih naskhah buku melalui E-dagang.
Namun dari segi jumlah transaksi , perniagaan dengan perniagaan sebenarnya paling banyak memberi manfaat kepada sesebuah syarikat disebabkan jumlah pesanan di antara perniagaan seringkali lebih besar dan mudah berlaku kekerapan berbanding di antara perniagaan dengan pengguna akhir.
Selain itu , E-dagang boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pasaran elektronik dan sistem maklumat dalaman syarikat . Pertama , pasaran elektronik merujuk kepada jaringan interaksi dan hubungan di mana segala maklumat , produk , perkhidmatan dan urusan pembayaran boleh dijalankan. Contohnya , sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual beli di mana sahaja di dunia ini . Manakala , sistem maklumat dalaman syarikat adalah segala maklumat disalurkan di antara dua atau lebih syarikat . Hal ini boleh dilakukan melalui pengwujudan Intranet iaitu salah satu rangkaian korporat persendirian yang membolehkan jual beli pengguna dilakukan di tempat perniagaan.
E-dagang bukan sahaja digunakan di dalam konteks perniagaan , malahan turut digunapakai di dalam bidang professional seperti bidang perubatan. Teleperubatan adalah salah satu contoh penggunaan E-dagang yang secara tidak langsung menunjukkan peningkatan sebanyak 300% di seluruh dunia dan lebih 3 juta orang telah menerima manfaat daripada teleperubatan sejak tahun 1998. Bidang kewangan yang tidak asing lagi dikaitkan dengan E-dagang menyaksikan pada tahun 1998 berlaku peningkatan dalam pembelian aplikasi perbankan Internet . Hal ini terjadi disebabkan hampir setiap institusi kewangan di dunia ini memperkenalkan Internet Banking untuk kemudahan para pengguna membuat pemindahan , pembayaran transaksi dan sebagainya.
Secara umumnya E-dagang adalah model perniagaan yang mana segala aktiviti perniagaan dijalankan sepenuhnya melalui penggunaan internet sebagai mediumnya. Aktiviti E-dagang merangkumi penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan , melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan khidmat pelangan secara online. Terdapat dua jenis perniagaan yang boleh dijalankan melalui medium internet iaitu yang berasaskan produk fizikal , produk digital dan produk perkhidmatan.
Pada masa ini, E-dagang menjadi aliran utama bagi pelancaran sesuatu perniagaan untuk urusan jual beli dan perkhidmatan kepada pengguna secara global (Reynold, 2004). Bukan sahaja meliputi kaedah pengedaran barang atau perkhidmatan menerusi elektronik , malahan iainya juga dikenali sebagai hubungan antara pelanggan dengan organisasi yang mana bukan hanya untuk berkomunikasi menerusi laman sesawang , tetapi juga untuk proses pembelian sesuatu barangan yang ditawarkan pelbagai organisasi. Menurut Hanson , (2000) perniagaan dan transaksi pembelian barangan dan perkhidmatan dalam internet melonjak tinggi akibat peningkatan penggunaan internet masa kini .
Oleh itu , penggunaan laman web adalah sangat penting di dalam konteks perniagaan E-dagang ini . Dunia tanpa sempadan dan maklumat hanya di hujung jari merupakan sesuatu yang sangat tepat di dalam menggambarkan kepesatan perniagaan E-dagang . Melalui penggunaan laman web , penjualan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan , melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan khidmat pelangan dapat dijalankan secara online.
Harus diingatkan E-dagang ini tidak hanya bergantung kepada urusan jual beli semata-mata. Aplikasi ini juga meliputi segala aspek urusan perdagangan dan kewangan . Aspek perdagangan berperanan dalam meluaskan hubungan perdagangan ke seantero dunia menerusi penggunaan teknologi masa kini yang tidak terbatas . Tambahan lagi, skop E-dagang ini meliputi pelbagai pihak antaranya penjual , pelanggan , pembeli , orang awam dan juga organisasi . Perlu diketahui juga , internet adalah punca utama perkembangan aplikasi ini . Hal ini membuktikan penggunaan internet merevolusikan aktiviti perdagangan menjadi aktiviti terpenting dalam mengutamakan perkembangan ekonomi yang pesat dan maju .
2.0 Kepentingan E-dagang dalam Perniagaan
Setiap pengguna boleh membuat pilihan pembelian dan jualan walaupun berada dimana-mana sahaja dengan adanya E-dagang . Hal ini disebabkan , E-dagang membolehkan setiap transaksi dilakukan secara elektronik dan mudah diuruskan . Kebanyakkan pengguna lebih menggemari penggunaan E-dagang disebabkan penjimatan kos dari segi masa dan tenaga serta produk yang sukar ditemui di pasaran boleh didapati menggunakan konsep ini .
Asas utama perlaksanaan E-dagang secara global adalah melalui medium rangkaian internet . Di dalam konteks perniagaan , usahawan misalnya memerlukan rangkaian internet dan World Wide Web (WWW) sebagai satu rangkaian perniagaan dalam memasarkan produk mereka kepada pembeli . Sebagai contoh , laman web seperti e-bay.com sering menjadi tumpuan pungguna untuk urusan jual beli secara online.
Terkini , industri E-dagang atau perniagaan menerusi internet merupakan platform terbaik bagi corak perniagaan di negara ini . Kejayaan para usahawan pada masa kini sedikit sebanyak dibantu menerusi pengenalan platform ini selain daripada kesungguhan dan minat mendalam para usahawan itu sendiri . Dagangan yang beroperasi melalui internet bukan sahaja cekap dan berkesan, bahkan mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa urus niaga dan meluaskan jalinan strategik antara peniaga . Firma antarabangsa seperti Alibaba serta Amazon merupakan di antara yang menerajui perniagaan menerusi internet dan telah mengoptimumkan peluang menjana pendapatan menerusi platform ini . Pasaran domestik juga turut berjaya dikuasai oleh aplikasi ini berikutan sikap pengguna yang gemar menggunakan Internet untuk melakukan pembelian.
Seterusnya , kepesatan penggunaan E-dagang secara global ini telah mewujudkan perniagaan maya iaitu satu entiti perniagaan moden yang berkonsepkan teknologi maklumat . Akan tetapi , perniagaan maya ini telah menimbulkan pelbagai isu terutama mengenai keselamatan maklumat peribadi . Pengguna masih lagi ragu-ragu namun senantiasa berwaspada terhadap ancaman keselamatan ini berikutan kemungkinan maklumat peribadi mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer. Sebagai langkah berjaga – jaga , pemasangan Firewall ditingkatkan dalam membantu mengurangkan kegusaran pengguna. Pemasangan ini dapat mencegah terjadinya penggodaman Hacking pada jaringan . Namun , adalah diingatkan pengguna haruslah lebih berwaspada di atas setiap pemberian maklumat serta transaksi pembelian yang dilakukan .
Banyak kepentingan yang dapat dicapai melalui penggunaan E-dagang dalam menjalankan sesuatu perniagaan . Antara kepentingannya adalah , para peniaga serta pelanggan diberi peluang untuk mengusahakan perniagaan dan dalam masa yang sama mendapatkan produk yang mereka ingini dengan lebih cepat serta efektif . Bagi firma-firma perniagaan pula , sistem ini dilihat mampu menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh mereka . Globalisasi yang berlaku pada hari ini menyebabkan wujudnya jaringan dunia tanpa sempadan dan semua maklumat berkaitan dengan perniagaan dapat diakses dengan mudah .
Selain itu , firma mahupun syarikat tidak perlu lagi bersusah payah dalam mendapatkan kepercayaan pengguna semasa memasarkan produk mereka . Saiz firma yang besar bukan lagi menjadi keperluan sesebuah firma bagi meyakinkan pengguna . Malahan , dengan adanya rangkaian perkhidmatan talian yang kukuh dan berkesan iainya boleh meyakinkan para pengguna. Proses perhubungan dan komunikasi menjadi lebih murah serta teratur dan secara tidak langsung , membentuk kehidupan manusia bergerak ke arah yang lebih kompleks dan dinamik.
Di samping itu , iainya merupakan satu platform dalam pencarian produk yang sukar dijumpai di pasaran kerana penggunaan E-dagang adalah berkonsepkan mesra pelanggan . Pengguna hanya perlu mencari padanan dan spesifikasi yang sesuai dengan produk yang diinginkan , melakukan pembayaran elektronik terhadap produk yang telah dijumpai dan seterusnya berlakunya penghantaran produk kepada pengguna secara terjamin dan pantas . Jika produk tersebut tidak sampai pada jadual yang telah ditetapkan , pengguna boleh memanjangkan permasalahan tersebut ke atas talian pertanyaan pelanggan yang telah disediakan .
Tambahan pula , penyebaran maklumat dapat disebarkan dengan lebih cepat dan pantas melalui penggunaan medium seperti blog, emel , SMS (sistem pesanan ringkas) dan medium-medium yang lain . Medium tersebut dilihat dapat meningkatkan produktiviti para usahawan dan membantu pengguna dalam mendapatkan maklum balas terhadap sesuatu produk yang dipasarkan . Kebergantungan terhadap medium ini sedikit sebanyak membantu para usahawan dalam meningkatkan lagi mutu sesuatu produk atau perkhidmatan yang dijalankan. Sesuatu produk yang dipasarkan sudah semestinya melahirkan pelbagai reaksi atau maklum balas yang positif mahupun negatif daripada para pengguna . Dengan penggunaan E-dagang para usahawan dapat memperoleh maklumat dan maklum balas daripada pengguna dengan lebih tepat dan cepat. Melalui konsep ini , peniaga berpeluang mengiklankan , memasarkan barangan dan juga perkhidmatan serta mendapatkan stok tanpa mengira sempadan .
Selanjutnya , penjimatan kos dapat dilakukan melalui aplikasi ini . Sebarang kos seperti kos sewaan , insuran kawalan mahupun kos-kos lain tidak perlu lagi dilakukan termasuklah menjimatkan kos penyimpanan dan transaksi pemindahan barangan atau perkhidmatan . Langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan penggunaan kertas kerana pembeli tidak perlu untuk mengisi borang pembelian sesuatu produk . Walaupun segala urusan dilakukan secara atas talian , semua syarikat-syarikat masih boleh berhubung baik dengan pembeli, penjual ataupun penyedia perkhidmatan kerana mempunyai satu rangkaian yang sama .
Akhir sekali , iainya dapat memanfaatkan sikap daya saing berteraskan kualiti bagi sesebuah perniagaan di peringkat global . Iainya mampu meningkatkan kecekapan melalui kelajuan transaksi antara jual beli. Bahkan , perdagangan ini membenarkan pembekal dan pelanggan mengakses perkhidmatan jualan 7 hari seminggu / 24 jam sehari . Pemasaran dalam talian ini juga dapat membantu dalam memasarkan produk berinovasi bagi sesebuah syarikat .
Selain daripada mengetahui maklum balas daripada pelanggan iainya dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan pelanggan yang berpengaruh di dalam usaha menyempurnakan dan memperbaiki pembangunan produk berterusan mereka.
3.0 Tahap Penggunaan E-dagang di Malaysia
Di Malaysia , penggunaan E-dagang telah berkembang pesat dan telah menjadi perhatian umum terutama di dalam industri yang melibatkan perdagangan , perniagaan , pelaburan , perbankan , dan sebagainya . Aplikasi ini juga turut dinyatakan sebagai salah sebuah projek yang diberikan penekanan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan komunikasi dan transaksi menerusi elektronik melalui transaksi perniagaan secara atas talian (online) . Hal ini disebabkan ,E-dagang telah menunjukkan potensi yang memberangsangkan dalam merevolusikan proses dan struktur industri dan mengembalikan semula persekitaran persaingan bagi perniagaan di seluruh dunia pada peringkat awal kemunculannya (Mahathir, 1998).
Antara pihak kementerian dan agensi yang terlibat adalah seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS), telah melancarkan satu program dengan terbitan E-dagang iaitu AgriBazzar.com pada tahun 2004. Setelah wujudnya E-dagang ini , ianya membolehkan urusan jual beli dilakukan dengan hanya perantaraan menerusi Internet. Ia dapat mengurangkan kos dari segi logistik dan pengurusan .
Di sekitar tahun 2008 , pengguna lebih memilih untuk berurusan secara langsung dan melakukan transaksi secara bersemuka tanpa menggunakan teknologi ICT seperti Internet disebabkan aplikasi E-dagang masih terlalu baru di Malaysia . Namun , terdapat juga para pengguna yang menggunapakai aplikasi ini untuk aktiviti yang melibatkan urusan transaksi kewangan seperti pembayaran bil , menempah tiket penerbangan dan membeli barangan dan perkhidmatan secara online (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, (SKMM, 2008).
Menurut SKMM , aktiviti usahawan atau masyarakat Malaysia melibatkan E-dagang di dalam industri masing hanya meliputi 27.2% dan 19.6% dari jumlah keseluruhan aspek tinjaun penggunaan internet. Peratusan ini diperolehi daripada industri kewangan dan perkhidmatan. Akan tetapi , pada tahun 2000 , penggunaan aplikasi ini telah melonjakkan perolehan pendapatan sebanyak 600% iaitu RM1.6 bilion berbanding dengan tahun sebelumnya .
Satu kajian juga telah dijalankan di tahun yang sama dan ianya mendapati 5% daripada pengguna Internet di Malaysia pernah melakukan pembelian menerusi E-dagang (Rosario, 2000).
Selanjutnya , kajian diteruskan lagi oleh SKMM pada tahun 2005 dan mendapati sebanyak 9.3% pengguna Internet telah melakukan aktiviti yang melibatkan E-dagang seperti pembelian menerusi online (SKMM, 2005). 5 tahun berikutnya , penggunaan aplikasi ini terus meningkat kepada 33.6% berikutan iainya telah mula mendapat perhatian daripada pengguna Internet.
Bagi mendapatkan peratusan tinjauan berkenaan , sebanyak 4,925 pengguna internet telah ditemuduga serta ditanyakan pelbagai soalan untuk mengetahui corak penggunaan internet di Malaysia di samping menyediakan data lengkap sebagai rujukan pada masa hadapan. Kajian juga mendapati pengguna internet majoritinya adalah lelaki iaitu 50.2% manakala selebihnya iaitu 49.8% adalah wanita, (Berita Harian) .
Presiden dan Ketua Eksekutif Rakuten Online Shopping, Masaya Ueno, berkata, akses internet di seluruh negara serta sokongan padu komuniti perniagaan selain perkembangan positif dalam aktiviti beli-belah dalam talian, membeli-belah sosial akan terus menjadikan Malaysia sebagai pasaran E-dagang yang cergas dan menguntungkan(Utusan Malaysia, 2012).
Menerusi perancangan RMK ke-9 pula , sebanyak RM12.89 bilion telah diberikan di dalam membangunkan dan memperkembangkan ICT di Malaysia (unit perancangan Ekonomi , 2006). Peruntukkan ini diberikan berdasarkan kesungguhan dan konsistentasi yang dipamerkan menerusi beberapa pihak. Sehubungan dengan itu , MSC merupakan projek perintis dalam menyelaraskan keseluruhan perkembangan ICT yang telah direncanakan di seluruh negara bagi menuju ke arah era maklumat (infomation age) dan menjadi negara maju tahun 2020 .
Seterusnya , demi menjamin keberkesanan aktiviti ini , pihak kerajaan khususnya telah mewujudkan beberapa polisi dan juga strategi yang dianggap bersesuaian . Namun , perlaksanaan polisi tidak boleh dijalankan sewenang-wenangnya tanpa mendapatkan persetujuan daripada semua pihak yang terlibat. Hal ini disebabkan , terdapat beberapa isu dan juga perkara yang perlu diberi perhatian semasa melakukan perancangan polisi dan juga strategi berkenaan . Antara isu yang perlu diberi perhatian adalah , perkara yang melibatkan adat resam , agama , dan juga kebudayaan kerana negara kita terdiri daripada masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum . Kepelbagaian kaum ini akan mewujudkan kelainan dalam dalam merencanakan polisi dan juga strategi bagi aplikasi ini .
Di samping itu , rencana polisi dan strategi ini haruslah mendapat sokongan dan kerjasama bukan sahaja dari pihak kerajaan bahkan daripada pihak swasta . Dalam mewujudkan suasana perjalanan E-dagang yang kondusif , pihak swasta hendaklah mewujudkan satu sistem transaksi selamat yang melindungi pengguna dari ancaman penggodam siber supaya maklumat peribadi pengguna tidak disalahgunakan. Penyediaan kemudahan yang bersifat mesra pelanggan perlu diwujudkan supaya persekitaran komunikasi dan interaksi dapat dijalankan dengan lancar dan selesa.
4.0 Cabaran / Halangan Penggunaan E-dagang
CyberSecurity Malaysia adalah agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi . Pada dasarnya, peranan CyberSecurity Malaysia adalah untuk menyediakan perkhidmatan khusus dalam bidang keselamatan siber seperti tindak balas kecemasan keselamatan siber dan forensik digital . Menurut CyberSecurity Malaysia , E-dagang mula berkembang di negara ini sebelum tahun 2009. Perkembangan ini pada mulanya bergerak sangat perlahan disebabkan para pengguna masih ragu-ragu dengan tahap keberkesanan kaedah ini , sebelum iainya berkembang pesat sekitar tahun 2010 .
Namun , perlaksaan sesebuah sesebuah teknologi semestinya memiliki cabaran dan juga rintangan dalam mencapai kejayaan ataupun sebaliknya . Aplikasi ini tidak terkecuali menerima tempiasnya memandangkan iainya merupakan sebuah teknologi baru yang nyata tidak terlepas daripada cabaran dalam usaha untuk dikembangkan serta digunapakai oleh orang ramai . Perkembangan teknologi ini tidak semestinya disambut baik oleh semua golongan masyarakat . Maka , wujudlah pelbagai masalah sama ada ditimbulkan oleh pihak pengguna , pengusaha mahupun peniaga .
Antara cabaran atau halangan terhadap penggunaan E-dagang adalah budaya masyarakat yang kurang berkeyakinan terhadap sistem keselamatan E-dagang . Kurangnya pendedahan terhadap urusan jual beli semasa menggunakan aplikasi ini menjadi cabaran utama penggunaan . Iainya dikenali sebagai jenayah E-dagang dimana pengguna tidak menerima barangan tersebut selepas membuat pembayaran pendahuluan terhadap barangan yang ingin dibeli . Blog , laman sosial atau email merupakan medium penipuan pembelian utama . Terjadi apabila pengguna berurusan terus dengan individu tertentu yang tidak dikenali dan tidak disahkan sama ada berdaftar atau tidak sebagai peniaga online . Mereka juga biasanya sukar untuk membezakan laman web sebenar dengan laman tiruan kerana kedua-duanya adalah berbentuk sama serta sesiapa sahaja boleh membina laman sendiri seterusnya mendaftar nama yang dominan. Perbezaan laman web hanya boleh dibezakan melalui alamat URL .
Selain itu , kekurangan pengetahuan di kalangan pengguna berkaitan konsep E-dagang, lebih-lebih lagi semasa membuat transaksi pembayaran . Kebiasannya , transaksi aplikasi ini melibatkan pihak ketiga seperti bank , pengeluar kad kredit dan badan-badan persijilan tertentu . Pengguna tidak mengetahui , apabila mereka membuat sesuatu pembelian , mereka akan diminta memberikan nombor kad kredit bertujuan untuk dibaca oleh komputer penjual . Kaedah ini akan membenarkan komputer penjual memintas nombor kad kredit pembeli untuk menyelesaikan proses pembayaran. Namun , nombor kad kredit pembeli tidak akan dapat dibaca oleh penjual . Akan tetapi , pengguna masih berasa gusar dengan tahap keselamatannya akibat kekurangan pendedahan terhadap kaedah Secure Electronic Transaction (SET) yang dibangunkan oleh Master Card dan Visa ini .
Seterusnya , melibatkan kesanggupan golongan usahawan dalam menanggung segala risiko terhadap pasaran global yang mempunyai pasang surutnya . Risiko yang boleh dihadapi oleh golongan ini adalah , mereka tidak dapat mempamerkan keseluruhan produk misalnya kelebihan ke atas barangan atau perkhidmatan yang hendak dijual . Penjualan produk adalah berdasarkan beberapa gambar yang ditunjukkan dengan sedikit penerangan terhadap produk tersebut . Pembelian boleh terjadi jika pengguna tertarik terhadap produk yang diiklankan kerana iainya hanya mampu dilihat luaran sahaja yang memerlukan imaginasi oleh pengguna .
Selanjutnya , penumpuan perlaksanaan E-dagang bukan sahaja memfokuskan kepada penggunaan sesebuah mesin atau komputer malahan turut melibatkan banyak fasiliti dan infrastruktur termasuklah Internet berkelajuan tinggi (Turban dan King , 2003). Namun , kelajuan Internet akan menjadi sia-sia sekiranya kelengkapan tersebut masih lagi tidak mampu dipenuhi dan secara tidak langsung akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan aplikasi itu sendiri .
Di samping itu , kelajuan akses yang bertambah akan menjadikan Internet tersebut bertambah mahal seterusnya menjadi penghalang sesebuah perniagaan dan para pelanggan untuk mencari maklumat atau info berkaitan dengan produk (Turban dan King , 2003) . Kos bagi mengakses internet yang terlalu mahal akan menyebabkan para peniaga dan pelanggan menghadapi masalah.
Selain daripada kelajuan Internet , ketidakcukupan perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar boleh menjadi penghalang utama terhadap perkembangan e-dagang dalam sesebuah negara (Turban dan King, 2003). Internet jalur lebar berkelajuan tinggi amat diperlukan bagi memenuhi keperluan maklumat dalam laman sesawang kepada pelanggan . Hal ini demikian , setiap maklumat dan informasi yang berkaitan dengan sesuatu produk atau perkhidmatan perlu disediakan oleh pembekal. Pengguna akan mendapat maklumat tersebut menerusi laman sesawang dan ini akan memberi impak yang positif apabila pengguna turut melakukan proses pembelian dan kegiatan perdagangan menerusi Internet.
Di samping itu , cabaran yang dihadapi di negara luar sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkembangan E-dagang di Malaysia. Hal ini demikian kerana, perkembangan dari negara luar akan memberi impak yang positif terhadap penggunaan E-dagang di Malaysia memandangkan masyarakat di Malaysia selalunya dikategorikan sebagai masyarakat yang lambat menerima sesebuah teknologi baru atau dipanggil ‘majoriti lewat penerimaan’ lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman (Mahendhiran, Han dan Goon, 2010).
Cabaran yang terakhir yang dapat disimpulkan adalah penyalahgunaan maklumat yang dipaparkan oleh sesetengah pihak . Adalah diingatkan , sebarang maklumat yang tercatat dan terkandung pada laman web boleh diubahsuai sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab . Jika tersilap langkah dalam memasukkan maklumat tanpa jaminan keselamatan , maklumat tersebut boleh digunapakai tanpa disedari oleh pengguna .
Secara realitinya , pembekal yang sememangnya melakukan perniagaan secara E-dagang ini haruslah berhati-hati bagi mengekalkan mutu perkhidmatannya . Manakala , pengguna Internet perlulah memanfaatkan sistem melalui kaedah pengesahan daripada pihak ketiga iaitu organisasi bebas yang diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk menilai dan memantau pemilik e-perniagaan tersebut.
5.0 Faktor – Faktor Pendorong Penggunaan E-dagang
Di dalam era globalisasi ini , terdapat banyak manfaat yang dapat diterapkan mengenai penggunaan aplikasi E-dagang berbanding perniagaan tradisional. Trend ini semakin terus berkembang pesat disebabkan masyarakat lebih gemar melakukan pembelian secara ‘online’. Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan sebagai pendorong penggunaan aplikasi ini , diantaranya ialah kos faktor . Sebelum sesuatu pembelian dilakukan , para pengguna akan membandingkan harga-harga produk yang ditawarkan dalam usaha untuk meminimumkan pengeluaran kos . Mereka sangat menitikberatkan harga kos pembelian sesuatu produk . Produk yang jauh lebih murah dengan harga yang berpatutan akan menjadi pilihan mereka dalam melakukan pembelian . Selain dari harga yang berpatutan , kualiti sesuatu produk juga menjadi perhatian para pengguna .
Bukan sahaja faktor kos ini mempengaruhi pembelian pengguna , malahan iainya turut melibatkan urusan jual beli penggunaan internet sesebuah negara . Sathye (1999) menyatakan , faktor kos merupakan salah satu sebab yang menjadi halangan terhadap penggunaan perbankan Internet di Singapura dan Australia . Kesedaran terhadap kos memiliki hubungan yang signifikan terhadap kecenderungan perbandingan pembelian secara online (Park , 2010).
Selain itu , aplikasi ini juga dapat menjimatkan masa dan tenaga para pengguna . Hal ini disebabkan , pengguna tidak perlu turun ke pusat membeli-belah mahupun ke kedai untuk membuat pembelian barang (Azilahwati , Syaharizad , dan Nurazlen ,2014). Dengan itu , iainya akan membantu membuka peluang perniagaan khusunya surirumah kerana mereka boleh menjalankan permiagaan secara atas talian di rumah . Pada masa kini , pelbagai kaedah boleh dilakukan dalam memasarkan sesebuah produk seperti melalui laman sosial Facebook , Instagram serta beberapa aplikasi lain . Perkhidmatan pembelian dan penghantaran yang baik akan membantu mempengaruhi seseorang pengguna untuk terus mencuba atau menggunakan sistem tersebut.
Seterusnya , kepercayaan merupakan faktor ketiga pendorong kepada penggunaan E-dagang. Laman sesawang yang dibangunkan haruslah mendapatkan kepercayaan daripada pengguna . Laman yang baik mampu meningkatkan tahap keyakinan pengguna untuk melakukan pembelian secara online . Pelbagai urusan perpindahan transaksi boleh dijalankan semasa urusan pembelian secara atas talian ini sama ada secara perpindahan kredit ataupun menerusi kad kredit . Para pengguna mengerti bahawasanya terdapat risiko berlakunya pencerobohan dan pintasan yang boleh dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab . Pencerobohan ini boleh terjadi dalam beberapa kaedah seperti kecurian kata laluan, pengodaman, spam dan percubaan untuk mencerobohi data atau maklumat. Oleh itu , faktor ini menjadi titik tolak dalam mendapatkan kepercayaan para pengguna terhadap aplikasi ini .
Tidak dilupakan , perkembangan teknologi yang pesat juga mendorong beberapa firma korporat tempatan untuk membangunkan perkhidmatan E-dagang . Firma – firma ini telah berjaya mendirikan tapak-tapak web yang menyokong platform E-dagang . Contohnya , Mybiz tapak web yang dibangunkan hasil kerjasama daripada Hitechniaga Sdn.Bhd dan Microsoft Corp . Iainya dibangunkan khas untuk firma bertaraf Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan lebih memfokuskan kepada mendirikan perniagaan di Internet . Seiring dengan itu , terdapat beberapa buah firma telah berjaya mengorak langkah dalam mencipta dan mempamerkan halaman web . Firma seperti Mytex Solutions Sdn. Bhd telah memperkenalkan pakej 'ringgit sehari' untuk perniagaan tempatan . Pakej ini ditawarkan kepada sesiapa sahaja terutama daripada IKS untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka melalui laman web sendiri .Kumpulan Renong juga telah melibatkan diri secara aktif dalam pelaburan jangka masa panjang yang amat menguntungkan ramai usahawan yang terlibat samada kecil mahupun besar.
Selain daripada firma dan organisasi tempatan , beberapa firma asing juga telah menunjukkan minat untuk mengembangkan lagi E-dagang di Malaysia . Microsoft Corp umpamanya , telah mengumumkan komitmen mereka untuk membantu pengusaha kecil agar dapat melibatkan diri di dalam aplikasi E-dagang ini .Sebagai permulaan , firma tersebut telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan TMNet , GHL Technologies, Hitechniaga, Sunway Technologies dan Silicon Communication dalam usaha membangunkan persekitaran E-dagang berasaskan pelantar teknologinya . (Lee Fong Yeaw , 2013) .
Dari sudut pembangunan melalui usaha kerajaan , cetusan idea YAB Perdana Menteri Malaysia dalam menggalakkan penyertaan industri tempatan dalam E-dagang haruslah dipuji . Malaysia telah mendapat banyak manfaat hasil daripada pengenalan inisiatif mengetengahkan Pelan Utama E-Dagang Negara dan Rangka Kerja E-Dagang Negara semasa mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC di Cyberjaya yang melibatkan Microsoft, Lotus dan Apple . Kerjasama yang terjalin melalui mesyuarat ini di antara pihak kerajaan , perniagaan dan komuniti telah mengiktiraf ciri E-dagang tanpa semapadan dan penciptaan peluang untuk negara .
Tidak terkecuali , pendekatan pelan strategik yang meliputi amanah dan keyakinan terhadap E-dagang, memperbaiki rangka kerja , peraturan , memperkukuhkan infrastruktur dan sokongan logistik untuk E-dagang tidak dilupakan .
Pelan utama E-dagang negara pula terdiri daripada program dan projek khas yang meliputi tujuh kawasan untuk menghasilkan inovasi , meningkatkan akses pasaran , memacu pembangunan kreatif , perlindungan harta intelektual , pengedaran atau portal mengukuhkan identiti jenama dan antara muka perkhidmatan . Diharap dengan perlaksanaan ini , iainya dapat meningkatkan perkembangan E-dagang di Malaysia . Beberapa kejayaan rancangan ekonomi kerajaan yang dijalankan kebelakangan ini menjadikan perkara ini tidak boleh dipandang remeh . Oleh itu , para pengusaha tempatan seharusnya tidak ragu-ragu lagi untuk turut terlibat dalam E-dagang berdasarkan peranan kerajaan yang begitu aktif untuk membangunkannya ( Berita Harian, 2013 ) .
Akhir sekali , umum mengetahui aplikasi ini merupakan satu alternatif wajib untuk apa jua jenis perniagaan yang ingin pergi ke peringkat antarabangsa . Malah, E-dagang kini diakui oleh syarikat-syarikat antarabangsa dan pakar-pakar pemasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan lagi . Perniagaan yang memberangsangkan pada pandangan mata dunia adalah kecepatan penghantaran dan juga penerimaan barangan ataupun perkhidmatan . Aplikasi ini bertindak sebagai medium dalam meningkatkan usaha pemasaran massa dan juga penyingkiran orang tengah . Seandainya kesemua ini dapat diwujudkan maka matlamat mutakhir adalah harga barangan dan juga perkhidmatan akan menjadi lebih murah dan juga kompetitif. Pra syarat utama dalam menjalankan aplikasi ini adalah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan juga prasarana telekomunikasi yang akan membolehkan anda mengakses internet . Pertukaran maklumat dan transaksi perniagaan dapat dijalankan sekelip mata berbeza dengan kaedah tradisional yang perlu berhadapan dengan kerenah birokrasi. Hal ini mendorong perkembangan dan kemajuan E-dagang sendiri sebagai sebuah entiti perniagaan yang moden .
6.0 Kesimpulan
Kejayaan E-dagang adalah bertunjangkan gabungan perkongsian maklumat dan kerjasama di antara sektor wasta dan sektor awam . Kejayaan ini dibuktikan apabila iainya muncul sebagai salah satu pilihan utama para pengguna untuk membeli-belah secara atas talian . Perkembangan yang positif ini telah berjaya memacu ekonomi Malaysia dan global hasil daripada kerjasama semua pihak . Sektor awam telah berjaya memainkan peranannya selaku peneraju yang membantu mengelakkan kekeliruan di antara beberapa agensi kerajaan serta berwaspada supaya tidak timbul pertelingkahan daripada sudut kewibaan (authority) . Peningkatan infrastruktur komunikasi dalam bidang teknologi maklumat akan mempengaruhi kelajuan dan peningkatan penggunaan aplikasi E-dagang bagi sesebuah negara.
Koridor Raya Multimedia merupakan sebuah projek mega yang sudahpun dibangunkan oleh Malaysia. Projek ini telah diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996 . Iainya bertujuan menarik syarikat-syarikat dengan pengecualian cukai syarikat sementara serta kemudahan-kemudahan lain seperti internet yang laju dan lokasinya yang berkedekatan dengan lapangan terbang antarabangsa . Oleh yang demikian , dengan adanya projek mega sebegini adalah diharapkan urusniaga melalui E-dagang akan menjadi satu budaya urusniaga yang menggalakan dalam masa yang terdekat .
Di samping itu , perdagangan ini mempunyai peluang yang sangat besar di dalam kegiatan atau urusan perniagaan di Malaysia . Dengan gaya dan cara yang dilihat sangat memudahkan untuk kegunaan pengguna membeli sesuatu produk , maka perdagangan ini cepat melangkah dalam mendapatkan peluang untuk bertapak di Malaysia . Perdagangan ini bukanlah berdasarkan jantina semata-mata , iainya tidak mengira lelaki atau perempuan . Oleh itu , mereke haruslah merebut peluang yang ada bagi memajukan perniagaan masing-masing Oleh yang demikian , para peniaga haruslah bersedia dan merangka polisi serta strategi bagi memasuki pasaran baru dengan E-dagang . Polisi ini juga wajarlah disokong serta dibantu oleh pihak swasta dan juga kerajaan .
Akhir sekali , para peniaga dan usahawan dalam negara perlu mengambil peluang dalam dunia teknologi maklumat bagi memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka. Penggunaan yang menyeluruh dalam dunia internet sebenarnya banyak membawa kebaikkan baik kepada individu mahupun negara . Umum mengetahui , kemajuan teknologi dalam beberapa dekad yang lalu telah banyak meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia . Ia membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan juga produktiviti. Pendek kata, teknologi baru ICT telah memberi manfaat kepada para pengguna malah memberikan kemudahan dan kebaikan kepada syarikat dan juga para peniaga .
RUJUKAN
Ahmad Firdause Bin Md Fadzil , Mohd Rafi Bin Yaacob. (2014) .Faktor Individu Sebagai Komponen Menyumbang Kepada Penciptaan Perniagaan Baharu Usahawan E-Dagang . Diakses pada 31 Oktober 2016 http://www.ukm.my/fep/perkem/pdf/perkem2014/PERKEM_2014_3C3.pdf
Irfan Khairi. (2006, Mac). Perniagaan internet murah tetapi meluas. Dewan Ekonomi, 18-19.
Musa Abu Hassan. (2008). Memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi ICT untuk semua.Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia.
Zikri Muhammad, Norizan Md.Nor & Mohd Asri Abdullah . (2003) . Industri kecil dan sederhana di Malaysia dalam era teknologi maklumat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 2008.
No comments:
Post a Comment