Pages
INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA (ZARINA BINTI MAMAT) (242232)
1.0 PENGENALAN
“Pernahkah anda bermimpi untuk memiliki perniagaan Francais sendiri yang tidak memerlukan modal dan tanpa risiko? Jika jawapan anda YA, jangan lepaskan peluang untuk memiliki perniagaan sendiri. Kami akan membantu anda mencapai matlamat bersama-sama di dalam rangkaian kami”. Itu antara ayat-ayat yang biasa digunakan oleh sesebuah syarikat untuk menarik minat orang lain membuka perniagaan sendiri menggunakan jenama sesuatu syarikat.
Definisi Francais dari sudut komersial adalah suatu kaedah pemasaran yang berasaskan pemberian hak dan tanggungjwab bagi menjalankan sesuatu perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga, sistem, lokasi atau kawasan dan jangkamasa yang ditentukan". Definisi Francais dari sudut perundangan adalah
(Akta Francais 1998) kontrak/perjanjian secara nyata atau tersirat, lisan atau tertulis antara 2 orang atau lebih. Francaisor memberi francaisi hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama
tempoh yang ditentukan oleh francaisor.
Definisi francais berbeza dari satu negara ke negara yang lain. Perkataan francais diambil daripada perkataan Perancis yang bermaksud ‘kebebasan’ atau ‘pengecualian dari cukai’. Walaupun istilah francais diambil daripada bahasa Perancis, namun negara yang mendominasi sistem ini adalah Amerika Syarikat. ‘Vaughn’ mendefinisikan sistem francais sebagai “Satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat induk secara lazimnya memberikan kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau satu syarikat yang secara relatifnya adalah kecil untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan untuk satu jangkamasa tertentu dan pada satu tempat yang ditentukan, dalam proses mengedarkan barang atau perkhidmatan yang sedia wujud”.
Merujuk kepada definisi yang dikeluarkan oleh lembaga yang menjalankan sistem francais ini, iaitu Persatuan Francais Antarabangsa (IFA) (sebuah lembaga gabungan pengusaha francais di Amerika Syarikat ataupun lembaga-lembaga persatuan francais di setiap negara) francais didefinisikan sebagai satu usaha hubungan kontrak antara francaisor dan francaisi, dimana francaisor diwajibkan memberi penyeliaan dan bimbingan cara menjalankan dan menjaga perniagaan francais agar perniagaan tetap beroperasi, manakala pihak francaisi pula dikehendaki membuat bayaran berupa pelaburan dalam jumlah tertentu dan ia mendapat kebenaran untuk menggunakan jenama, bentuk dan sebarang sistem francais di bawah kawalan francaisor.
Perniagaan Francais dikategorikan sebagai perniagaan sendiri, iaitu kita sebagai francaisi dan pemberi hak francais itu pula dikenali Francaisor. Perniagaan Francais adalah perniagaan yang memerlukan modal yang agak besar lebih kurang RM200,000 sehingga RM2.5 juta untuk permulaan. Walaupun perniagaan Francais memerlukan modal yang besar, namun keuntungan yang diperolehi juga adalah berganda meskipun pulangan modal mengambil masa yang lama sehingga menjangkau bertahun-tahun.
Namun begitu tidak semua orang mampu untuk memiliki peluang berniaga dengan modal yang agak besar, memandangkan status kewangan serta syarat-syarat bank yang agak ketat dalam memberikan pinjaman untuk memulakan perniagaan tersebut. Contoh perniagaan francais yang kita ketahui adalah seperti KFC, McDonalds, Stesen Minyak, 7 Eleven dan sebagainya. Walaupun kekurangan atau ketiadaan modal, namun masih ramai yang menceburkan diri kerana keyakinan terhadap diri dan latar belakang perniagaan yang diceburi.
2.0 SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA
Dalam dunia perniagaan, industri francais bukan satu perkara baharu kerana perniagaan ini telah bertapak lama di dalam dunia perdagangan. Tidak hanya di USA dan Eropah, tetapi sudah menembusi ke negara-negara lainnya. Perniagaan ini berkonsepkan dua pihak ataupun lebih, mengikut keperluan bagi menjalankan satu aktiviti perniagaan, mengembangkan dan memperkenalkannya. Francais merupakan satu bentuk pemasaran produk dengan cara memberi maklumat secara meluas tentang penawaran jenama ataupun cap dagang sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan kepada pengguna terakhir.
2.1 Sejarah Pembangunan Industri Francais Pada Peringkat Global
Sejarah perkembangan francais di dunia menjadi bukti bahawa bentuk francais yang sedia ada pada saat ini merupakan pengembangan daripada sistem francais yang telah diterokai sejak tahun 1850-an dan mula berkembang tahun pada 1950-an serta 1960-an di Amerika Syarikat. Latar belakang dan matlamat daripada sistem ini adalah supaya barangan yang dikeluarkan dapat diedar dan dijual ke kawasan yang lain. Konsep dan pendekatan ini akhirnya diterima pakai di dalam sektor swasta dan komersial. Sistem francais kemudiannya menjadi popular dan dianggap sebagai satu yang inovatif dalam strategi pemasaran, yang melangkaui keperluan pengguna dan sempadan negara.
Sekitar tahun 1850-an McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais dengan mengedarkan barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka untuk dipasarkan ke seluruh Amerika Syarikat. Cap dagang SINGER telah digunakan sebagai jenama produk mereka. General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat mengikut jejak dengan menjalankan pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar francais di awal 1900-an. Menerusi usaha ini, banyak syarikat yang lain telah menjalinkan persefahaman untuk mewujudkan pusat pengedaran di negara-negara lain. Pada 1935, A&W Root Beer yang dimiliki oleh Howard Deering Johnson dan Reginald Spragu telah diperkenalkan, dan mereka telah mencetuskan idea untuk memasarkan makanan segera mereka secara sistem francais. Senario ini diteruskan McDonalds oleh Ray Kroc pada tahun 1955.
2.2 Sejarah Pembangunan Industri Francais Pada Peringkat Malaysia
Di Malaysia, perniagaan francais telah bermula kira-kira 60 tahun yang lalu menerusi syarikat-syarikat seperti Singer, Bata, petroleum, pengedar-pengedar automobil dan perhotelan. Pertumbuhan pesat perniagaan ini semakin ketara apabila restoran-restoran makanan segera seperti KFC, A&W dan McDonalds mula bertapak di negara ini sekitar tahun 70-an dan awal 80-an. Industri perniagaan francais hanya mendapat perhatian serius pihak kerajaan dan masyarakat Malaysia pada awal tahun 1990-an. Kerajaan telah mengenal pasti perniagaan francais sebagai salah satu strategi yang memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi negara. Sistem perniagaan francais juga dianggap sebagai salah satu mekanisme yang paling cepat dan berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan.
Program Pembangunan Francais di bawah Unit Perlaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri telah diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1992. Tujuannya memberikan nilai tambah terhadap sumber ekonomi negara ke arah merealisasikan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9). Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah mengambil langkah untuk membangunkan sektor ini melalui penyediaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN). Kewujudannya selaras dengan pelbagai pelan strategik dan program bagi memastikannya lebih tersusun dan terancang. Perbadanan Nasional Berhad sebagai agensi di bawah Bahagian Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) pula diberikan mandat untuk mengatur pelan pembangunan industri francais secara lebih komprehensif. Tujuh strategi utama iaitu promosi, program pakej khas, latihan, pembiayaan, pembangunan produk, jaringan strategik, pembangunan dan penyelidikan diperkenalkan.
Kerajaan Malaysia memberikan fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia sejak di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengorak langkah memperkenalkan francais pada 1993. Pada tahun 1994 Persatuan Francais Malaysia (MFA) telah ditubuhkan untuk menyokong pelaksanaan program Kerajaan yang menggalakkan keusahawanan melalui francais. MFA akan menjadi pusat rujukan untuk kedua-dua francaisor dan francaisi serta media dan orang ramai. Melalui kerja-kerja jawatankuasa, MFA komited untuk meneruskan kemajuan francais di Malaysia ke dalam abad ke 21 selaras dengan Wawasan 2020.
Secara umumnya, Industri francais di Malaysia menunjukkan perkembangan positif kerana telah menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa apabila 59 produk tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di 53 buah negara. Menurut Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), setakat ini sebanyak 1,992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan di luar negara antaranya Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe.
3.0 KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL
Perniagaan francais mendatangkan pelbagai manfaat terhadap sesebuah negara, terutamanya kepada sektor ekonomi. Francais dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi menerusi aktiviti keusahawanan. Selain itu dapat membantu dalam pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea produk serta perkhidmatan dalam membantu masyarakat. Francais juga menggalakkan perdagangan antarabangsa menerusi pakej-pakej perlantikan francais induk oleh francaisor tempatan, sekaligus menyumbang kepada pemantapan pertukaran mata wang negara. Industri francais menyediakan banyak peluang perniagaan dan peluang pekerjaan dengan menyumbang kepada pengambilan tenaga kerja. Melalui penghasilan produk yang berkualiti, ia dapat meningkatkan nama Malaysia kepada dunia sekaligus lebih banyak negara yang akan membuat pelaburan.
Ini terbukti apabila Program 'Franchise Malaysia Goes Global' berjaya mengembangkan perniagaan 60 syarikat francais tempatan di 55 buah negara menerusi kewujudan 2,380 premis ke serata dunia ini membuktikan syarikat francais Malaysia juga mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan syarikat francais luar negara dan industri francais negara menyumbang sebanyak RM25.6 bilion atau 2.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2014.
Sistem francais boleh diaplikasikan dalam projek penswastaan dengan melibatkan lebih ramai usahawan mengendalikan projek atau perniagaan berdasarkan sistem yang sama. Projek berteraskan pendidikan seperti Tadika Q dees dan Tadika Little Caliph adalah antara contoh yang berjaya dalam kategori ini. Selain itu, sistem perniagaan francais juga memberi kebaikan kepada pengguna dan juga pertumbuhan ekonomi negara. Melalui sistem francais, pengguna dapat menikmati kemudahan produk atau servis yang ditawarkan melalui rangkaian perniagaan yang besar dengan persekitaran yang baik. Di samping itu juga, pengguna akan mendapat perkhidmatan dan kemudahan perniagaan yang moden mengikut peredaran masa.
4.0 TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Jika dilihat, industri francais di Malaysia bermula lebih kurang 60 tahun yang lalu. Industri ini kurang diberi perhatian walaupun mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang. Pengguna lebih mengenali produk seperti SINGER, BATA, KFC dan sebagainya. Syarikat-syarikat ini mendapat keuntungan kerana berjaya mengembangkan rangkaian perniagaan mereka. Hasilnya aliran tunai di dalam negara mengalir keluar melalui yuran francais serta bayaran royalti setiap tahun kepada francaisor asing. Oleh itu, jenama tempatan digalakkan untuk mencontohi langkah-langkah yang diambil oleh syarikat-syarikat ini untuk mengembangkan sayap mereka. Namun, proses ini bukanlah mudah dan pakar-pakar bersetuju bahawa tindakan yang agresif perlu ditangani secara berhati-hati.
Industri francais di Malaysia menunjukkan tahap pembangunan yang positif dan memberangsangkan. Beberapa jenama tempatan telah berjaya mengembangkan jenama mereka ke luar negara, contohnya Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe. Pada tahun 2015, sebanyak 760 sistem francais yang melibatkan sebanyak 7525 francaisi yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK.
Pembangunan industri francais di Malaysia sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembang. Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi memastikan industri ini dapat membangun dengan baik. Antaranya dengan menubuhkan infrastruktur sokongan untuk merancang, melaksana, membangun dan mengawal selia serta memberikan bantuan dan kemudahan pembiayaan. Produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman mudah memasuki negara luar kerana jenamanya dan Malaysia adalah sebuah negara Islam. Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga diiktiraf dunia dan memberikan kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara.
Usahawan francais tempatan perlu berani keluar dari pasaran tempatan kerana pasaran dunia menawarkan potensi pertumbuhan jauh lebih baik apabila berjaya berada dalam pasaran antarabangsa. Kerajaan melalui kementerian dan pelbagai agensi terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara. Dalam perniagaan francais, hubungan dan kerjasama penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
5.0 SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Pembangunan industri francais di Malaysia telah mengorak langkah dengan mewujudkan Program Pembangunan Francais (PPF) pada 4 Ogos 1992, di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Jabatan Perdana Menteri. Antara pelan tindakan di bawah PPF termasuklah menubuhkan Persatuan Francais Malaysia (MFA) pada 18 Januari 1994 dengan tujuan untuk mengawal selia industri ini secara dalaman (self regulatory) dan penggubalan Akta Francais Malaysia 1998.
Pada awal tahun 2012, kerajaan mengambil inisiatif pemacu untuk membangunkan industri francais di Malaysia dengan merangka Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2012-2016. PIPFN ini merangkumi aspek meningkatkan daya saing francais Malaysia di dalam dan di luar negara, melaksanakan transformasi perniagaan melalui francais, membangunkan kecekapan modal insan serta mengukuhkan ekosistem francais yang lebih dinamik.
Sejajar dengan pelaksanaan PIPFN ini, pihak kerajaan telah mempercepatkan proses pendaftaran francais dengan memendekkan tempoh kepada tujuh hari bekerja dengan syarat semua dokumen dan syarat dipenuhi dengan mewujudkan satu sistem atas talian pendaftaran francais iaitu MyFEX dan MyFEX direka bertujuan untuk memberikan keselesaan dan memudahkan proses permohonan baru lesen francais. Peruntukan juga telah disediakan untuk mempromosikan francais tempatan Malaysia melalui pelbagai program seperti Franchise Malaysia Goes Global, membangun dan mengembangkan francais mikro melalui Francais Komuniti, 1Malaysia Stesen Francais serta menyediakan kemudahan pinjaman khas untuk francais mikro, Skim Pinjaman Kecil Francais. Ini adalah antara inisiatif yang telah diambil untuk menyempurnakan visi dan misi PIPFN ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan Akademi Perbadanan Nasional Berhad (PNS), untuk melahirkan usahawan francais yang mantap ilmu pengetahuannya serta mempunyai kemahiran yang tersendiri. Diantara program dibawah akademi ini adalah Program Latihan Softskill, Program Latihan Francais dan Program Kesedaran yang merangkumi forum dan perkongsian ilmu.
PNS bertanggungjawab melaksana dan menjadi peneraju dalam membangunkan industri francais di Malaysia dibawah seliaan KPDNKK, termasuklah menyediakan kemudahan pembiayaan. Diantara skim pembiayaan yang ditawarkan oleh PNS adalah skim pembiayaan francais, skim pembiayaan kontrak, skim pembiayaan lisensi, skim pembiayaan franciasor dan skim pembiayaan prafrancais. Selain dari itu, PNS juga turut memberi sokongan dan khidmat nasihat terhadap perniagaan francais termasuk perkongsian ilmu perniagaan dan pengalaman daripada pihak yang telah berjaya bertujuan untuk membantu dan menggalakkan orang ramai untuk menjadi usahawan francais.
PNS juga mempunyai panel perunding yang boleh membantu francaisor dan francaisi yang berpotensi. Perunding boleh membantu dengan menyediakan penyelesaian hujung ke hujung untuk francaisor menukar perniagaan sedia ada bagi memenuhi kriteria ROF untuk menjadi francaisor, membantu menyerahkan pendaftaran francais mereka dan memantau prestasi outlet francaisi untuk tempoh tertentu. Khidmat panel perunding ini digunakan dalam program penukaran francais PPFT, DBFP dan Projek Siap Guna. Maklumat berkenaan industri francais boleh didapati dengan melayari laman web kementerian www.kpdnkk.gov.my atau www.franchisemdtcc.gov.my atau pejabat Pendaftar Francais di Bahagian Pembangunan Francais KPDNKK.
6.0 CABARAN DAN HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA
Pertumbuhan perniagaan jenis francais yang semakin bertambah ini kadangkala menyebabkan tidak semua peniaga berjaya dalam menempuh cabaran dan halangan dalam bidang ini. Usahawan-usahawan francais harus bijak mengenalpasti segala masalah, cabaran dan halangan-halangan ini dan haruslah bersedia mengatasinya untuk memastikan perniagaan mereka mampu kekal dalam pasaran.
6.1 Cabaran Dan Halangan Yang Dihadapi Francaisi di Malaysia
Modal merupakan faktor utama dalam memulakan perniagaan. Kos-kos untuk memulakan perniagaan francais adalah dalam satu jumlah yang tinggi sekitar Rm200 ribu sehingga Rm1juta dalam masa 5 hingga 10 tahun bagi mencapai tahap yang baik. Ia termasuklah yuran untuk mendapatkan hak menggunakan jenama, kos sewa, deposit, pembelian aset, kos pengubahsuaian kedai. Kos membangunkan sistem francais adalah tinggi. Francaisi juga perlu membayar royalti bulanan kepada francaisor walaupun tidak memperolehi keuntungan.
Francaisi perlu berniaga dalam satu sistem yang ditetapkan oleh francaisor. usahawan operasi francais ini perlu sentiasa memastikan perniagaan mereka dalam keadaan yang baik seperti francaisi-francaisi yang lain. Mereka perlu lebih kreatif untuk memajukan pemasaran dalam kawasan mereka.
Tiada kebebasan kepada francaisi apabila francaisor terlalu menitikberatkan keseragaman kepada francaisi-francaisi dan mengawal perniagaan mereka. Tindakan ini menghalang francasi untuk menampilkan idea dan kreativiti mereka yang tersendiri serta menyekat kebebebasan untuk berniaga. Antaranya ialah seperti penetapan lokasi-lokasi, konsep perniagaan dan hiasan dalaman kedai, kawalan dan penjualan produk atau perkhidmatan yang tertentu, Kawalan mengendalikan operasi perniagaan serta kawalan ke atas hak wilayah (Territorial Rights)
Kontrak dan peraturan di Malaysia, adalah selama 5 tahun. Francaisi perlu memastikan perlu mendapatkan semula pulangan modal francaisi selama 5 tahun untuk memastikan pulangan pelaburan dapat diperolehi semula. Jika tidak segala pelaburan akan hilang apabila kontrak tamat. Kontrak akan tamat sekiranya didapati melanggar perjanjian francais dan juga tiada jaminan pembaharuan kontrak.
6.2 Cabaran Dan Halangan Yang Dihadapi Oleh Francaisor Di Malaysia
Terdapat juga beberapa cabaran / halangan yang dihadapi oleh pihak francaisor. Diantara cabaran / halanag adalah seperti berikut:
Apabila cawangan francais semakin bertambah dan berkembang pesat, agak sukar untuk pihak francaisor menangani masalah penipuan seperti, bayaran royalti, caj perkhidmatan, peniruan produk dan sebagainya. Kegagalan menangani masalah-masalah ini merupakan satu risiko besar kepada francaisor yang boleh membawa kepada kehancuran perniagaan
Berdasarkan Akta Francais, prospektus perlu diserahkan 10 hari sebelum menandatangani dokumen dan tujuh hari waktu bekerja ditetapkan untuk masa menunggu sebelum proses disahkan. Sikap buruk usahawan atau bakal francaisi pula adalah tidak mahu membaca terma perjanjian terlebih dahulu dan pada masa yang sama pihak francaisor juga tidak memberikan penerangan secara terperinci tentangnya. Oleh itu, apabila timbul masalah, kedua-dua pihak akan saling menuding jari dan akhirnya yang dipersalahkan adalah sistem francais itu sendiri
Perlu komitmen yang tinggi daripada francaisi. Masalah akan berlaku jika francaisi tidak mempunyai pengetahuan dan persediaan yang cukup dalam melibatkan diri dalam perniagaan francai. Kegagalan berlaku berpunca daripada sikap francaisi yang terlalu bergantung kepada francaisor sedangkan untuk berjaya dalam industri itu bukan perkara yang mudah. Francaisi bukan sahaja sekadar perlu mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi.
Francaisor adalah bertanggungjawab ke atas kewujudan, perkembangan dan daya saing perniagaan francaisi. Francaisor perlu memberikan bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi bukan sekadar di peringkat awal tempoh francaisi memulakan perniagaan, bahkan untuk seumur hidup perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi. Rangkaian perniagaan yang besar pastinya memerlukan perkhidmatan sokongan serta pasukan pengurusan dan pengawalseliaan yang cekap dan berkesan.
Apabila francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan mengenai mutu produk, tentu sekali nilai nama atau reputasi francaisor akan terjejas.
Kerahsian perniagaan yang mempunyai risiko peniruan dan kebocoran formula produk menyebabkan francaisor bertanggungjawab untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dengan francaisinya supaya francaisinya dapat bergerak seiring dengan cawangan yang lain.
7.0 MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Transformasi yang dijalankan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB) juga dilihat sedikit sebanyak telah meningkatkan daya saing industri francais. Kerajaan telah mengadakan pelan yang komprehensif sebagai arah tuju bagi menyelaras segala usaha dan tindakan dalam pembangunan industri francais di negara ini. Melalui program kesedaran dan pendedahan yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak, masyarakat kini semakin berfikiran terbuka dan faham akan konsep perniagaan francais.
Melalui pelaksanaan pelan tindakan yang dicadangkan oleh KPDNKK iaitu meliputi dua fasa implementasi dengan Fasa 1 bermula pada tahun 2012 hingga tahun 2014 dan Fasa 2 daripada tahun 2015 hingga tahun 2016. Pada tahun terakhir Fasa 2 implementasi PIPFN, adalah disasarkan sejumlah 860 syarikat francais berdaftar dengan sumbangan industri francais kepada KDNK meningkat kepada 4.3 peratus berbanding 2.2 peratus pada masa kini, diikuti dengan jumlah jualan francais per kapita meningkat kepada RM1110 berbanding RM470 yang dicatatkan sekarang. PIPFN juga akan dikaji semula bagi Fasa 3 yang meliputi tempoh dari tahun 2017 hingga 2020 bagi mencapai sumbangan kepada KDNK sebanyak 9.4 peratus dengan bilangan 1140 syarikat francais berdaftar menjelang tahun 2020.
Jenama francais Malaysia dilihat mempunyai potensi yang besar dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan aliran wang serta eksport produk tempatan di luar negara. Diharapkan pada masa hadapan industri francais di negara ini mampu berdikari dan kurang penggantungan terhadap kerajaan dalam mengawal aktiviti-aktiviti francais. Penyertaan lebih ramai usahawan dalam industri francais tempatan dilihat mempunyai kapasiti dan peluang yang besar untuk memastikan industri ini terus berkembang pesat sekaligus meningkatkan pendapatan perkapita Malaysia ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi.
8.0 KESIMPULAN
Sembilan daripada 10 pintu rezeki itu datangnya daripada berniaga ada disebut di dalam Islam. Falsafah masyarakat Cina pula berbunyi, “Dunia perniagaan penuh dengan sepak terajangnya. Oleh itu, peniaga perlu mempersiapkan dirinya dengan seni kung fu perniagaan bagi menghadapi sebarang bentuk serangan dan kemungkinan mendatang.” Kedua-duanya menunjukkan kepentingan berniaga oleh setiap ajaran di dunia kerana ia mampu memberi kesenangan meskipun terdapat banyak cabaran dan risiko yang mendatang.
Hubungan dan kerjasama penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa. Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara. Perniagaan francais mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi aktiviti pembangunan usahawan serta pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baru. Sistem francais juga boleh membantu mewujudkan budaya baru di dalam menjalankan perniagaan dengan penekanan diberikan kepada aspek-aspek disiplin yang tinggi, perkhidmatan pelanggan yang berkualiti, kebersihan dan keseragaman. Pemantapan budaya perniagaan seperti ini penting bagi membolehkan perniagaan tempatan bersaing di peringkat antarabangsa
Francais merupakan satu sistem perniagaan yang telah diterima di seluruh dunia dan telah terbukti sebagai satu strategi dalam mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih jauh. Secara umumnya, sistem francais ini jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan memulakan sesuatu perniagaan yang baru jika dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan dengan baik. Ini terbukti apabila sejumlah 55 produk francais Malaysia telah berjaya menembusi pasaran di 52 buah negara dengan 1,926 outlet melibatkan negara Indonesia, Singapura, China, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Pencapaian industri francais ini didapati sangat memberangsangkan dan didapati juga masyarakat kini semakin celik mengenai perniagaan francais disebabkan program dan pendedahan yang dijalankan. Program dan pameran-pameran tentang francais ini menjadi satu platform terbaik khususnya kepada masyarakat bagi mengenal pasti lebih lanjut mengenai perniagaan-perniagaan francais yang berpotensi tinggi.
9.0 RUJUKAN:
Rujukan BUKU
1. Mohd Hizam Hanafiah. (2013). Tinjauan Awal Perniagaan Francais Di
Malaysia. Universiti Malaya
2. Mohamad Yusop b. Mohd.Jani. Akta Francais 1998 (Pindaan) 2012: Melindungi Hak Francaisor dan Francaisi. UUM
3. Robert Ashton. (2012) How To Start Your Bussines for Entrepreneur 2nd edition, PEARSON
4. Zahran Hj. Ismail (2014). Cabaran dan Penyelesaian dalam perniagaan
5. Francais Di Malaysia. Creative Energy Corporation Wan Arfah Hamzah (2009), A First Look at The Malaysian Legal System, Oxford Fajar,
6. Ismail Mohamad. (2012). Francais: konsep dan perkembangannya. Dewan Budaya, September: 48-49
Rujukan Internet:
1. http://www.mfa.org.my/
2. http://www.sinarharian.com.my/bisnes/francais-kesedaran-bumiputera-masih-rendah-1.364529
3. http://www.kdnpkk.gov.my/
4. http://www.usahawan.com/perniagaan-francais/program-perniagaan-francais-mcdonalds.html
5. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. (12 Jun 2016) Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2012-2016.www.kpdnkk.gov.my
10.0 LAMPIRAN
10.1 Industri Francais yang ada di Malaysia
10.2 Agensi Yang Menyokong Francais
10.3 Antara Keratan Akhbar Mengenai Francais Di Malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)
No comments:
Post a Comment